Selasa, 21 Januari 2014

PANGLIMA HITAM - Part 3

PANGLIMA HITAM - Part 1
PANGLIMA HITAM - Part 2


"Saya rasa tak sesuai kita bincangkan masalah ini sekarang. Saya kene selesaikan misi Gekko kita ini barulah boleh fikir untuk berumah tangga ke nak ape ke? Awak jangan buat keputusan sendiri. Lagipun saya tak pernah sukakan awak. Kita hanya rakan sekerja", aku perlu fokus pada misi aku. 

"Betul ke awak tak pernah suka saya?", lirikan mata Faizal yang was-was dengan penyataan aku sebentar tadi. Aku terdiam. Kenapa sejak akhir-akhir ni Faizal lain macam. Sangat agresif bab kahwin ini. Ke dia rasa yang aku sukakan dia? Atau kantoi aku tergamam melihat dia berbaju melayu dan bersongkok pagi tadi?  

"Saya boleh bet, lepas ni awak akan bertambah suka  kat saya. Saya akan goda awak....haa jangan terkejut", aku betul-betul terkejut dengan keyakinan Faizal. Dia mengusap kepala aku sehingga ke ikatan rambut dan digoyangkan kemudian dia membetulkan kembali tudungku. Aku terkejut dan putus kata. Aduh! Tergamam.

"Okay, kita tengok setakat mana awak boleh try saya", aku malas melayan Faizal, terus bangun dari meja makan. Faizal hanya ketawa. Tiba-tiba aku tersenyum semasa menuju ke bilik, aku ni gila ke? Ke memang aku dah tersuka Faizal??

Tetiba aku teringat pesanan Panglima Hitam. 

"Jika kau mahukan Gekko, kau kena korbankan seorang lelaki untuk menjadi Tuan aku!". Ya Allah janganlah Faizal aku gunakan sebagai kambing hitam.

Kami tidak boleh melengahkan lagi masa, kami harus berjumpa Damia. Kami lincah mengundur diri, sekali lagi ibu kecewa dan kelihatan redha dengan pemergian kami. Di dalam kereta, Faizal bersuara
"awak betul tak nak kahwin dengan saya ke? Saya betul-betul melamar ni!". Aku membalas "kita jumpa Damia dahulu, soalan akan saya jawab nanti". Tegas. Fokus yang satu.

Kami terus ke port rahsia kami, Damia kelihatan sugul mungkin trauma dengan kejadian yang hampir diculik tadi. Kami perlahan duduk di meja dan menunggu Damia membuka peti suaranya.

"Kak Ira, saya rasa kita tak akan mampu tangkap Gekko. Semasa saya ditarik oleh konco Gekko, mereka bercakap dengan satu suara yang saya tak nampak jasadnya", Damia memberanikan bersuara. Aku tahu dia masih takut dengan kejadian tadi.

Menurutnya, semasa dia ditangkap, lelaki- lelaki itu tidak memegang badannya tapi tangannya terus terikat dengan tali yang datang entah dari mana. Semasa dia dihumban ke dalam kereta Hummer itu, terdengar suara yang bergema memberi arahan. Berkumat-kamit bibir Damia membaca ayat 9 dari surah Yaasin.


Dengan izinNYA pertolongan dari Allah, Damia meleraikan ikatan tangan dan meloloskan diri dari kereta itu walaupun ia perkara yang agak mustahil. Syukur Damia selamat. 

"Kau rasa Gekko tu sebenarnye bukan manusia? Begitu? Dan apa guna bukti ini?", tunjuk aku beberapa keping gambar lelaki berwajah jelas hasil tangkapan CCTV yang disyaki Gekko, selepas dia melakukan beberapa pembunuhan secara terang-terangan. Lelaki ini jugalah yang membunuh ayah. Pelik, setelah beberapa tahun siasatan kami walaupun dengan segala kepakaran, kami masih gagal jejak lelaki ini, dia juga tiada identiti diri dan kami merasakan berkemungkinan dia adalah seorang perisik!

Perbincangan yang tiada kata putus. Kami hampa namun kami belum berputus asa. Tetiba ingatan aku pada Panglima Hitam. Mungkin aku perlukan bantuan dia. Terdesak sungguh! Aku terus keluar membiarkan perbincangan itu tergantung. Aku perlu pulang ke rumah dan berjumpa Panglima Hitam. Tekad.

**********************************************
Dengan nafas putus-putus aku membaca ayat mantera itu.

"Hahahahahahahaha............aku dah kata, aku saja yang boleh tangkap Gekko, dia hanya picisan kalau dibandingkan dengan aku. Kau sama dengan ayah kau!! Nak buat keputusan pun susah! Ramai berebut nak menjadi 'tuan' aku tetapi aku hanya memilih yang layak sahaja", Panglima Hitam seolah-olah mengejek aku!

"Ok, adakah aku ada pilihan lain? Selain korbankan seorang untuk kau?", aku tidak mahu tunduk pada makhluk ini!

"Ada, kau kena berkahwin dan mengandung. Anak itu akan jadi milik aku", Allahuakbar. Tiada pilihan untuk aku? Kedua-duanya nyawa. Aku tidak sanggup korbankan nyawa sesiapa.

"Kau korbankan Faizal!!!", sergah Panglima Hitam membuatkan aku merasa sungguh marah.

"Walau apa pun terjadi kau jangan sentuh Faizal", amaran aku pada Panglima Hitam. Aku tak sanggup juga kehilangan Faizal. Tetapi buat masa ini, hanya Faizal dapat membantu aku! Terus aku mencampakkan balutan kuning itu di dalam beg galas semula, Panglima Hitam hilang. Aku terlalu letih tambahan pula dengan kesakitan senggugut, aku tertidur di siang hari.

***********************************************

Aku bermimpi aku terjun dari bangunan dan terus terjaga. Lihat jam ditangan pukul 8 malam! Allah lamanya aku tidur. Termenung teringat mimpi tadi. Aku melihat ayah ditembak oleh Gekko yang menyamar menjadi orang awam yang kononnya saksi pada kes rompakan berlaku. Aku sempat melihat ayah memandang aku dan menjerit nama Gekko. Tak sedar air mata laju bercucuran.

Hati aku meronta-ronta untuk dapatkan bantuan Panglima Hitam. Maafkan aku Faizal.

Dalam leka mamai mengingati mimpi, tetiba telefon bimbit berbunyi. Tertera nama Faizal. Panjang umur.

"Assalamualaikum, saya depan rumah ni, keluar sekarang sayang!", lembut seperti biasa. Faizal seorang sahaja yang melayan aku sebaik ini. Sejak kami memulakan misi bersama, dia amat menjaga segala keperluan aku dari segi mental dan fizikal. Aku hanya menuruti, tanpa membersihkan diri aku hanya mencapai tudung dan keluar. Melihat dari jauh wajah Faizal tersenyum manis.

"Kenapa?", soal aku.

"Saya bawak makanan ni saya tahu awak tak larat bangun masak atau keluar beli makanan", Faizal terus melulu masuk ke dalam rumah tanpa segan-silu. Dia mengambil tuala dan memaksa aku untuk mandi bersihkan diri. Kemudian hanya kedengaran bunyi bising di dapur.

Setelah mandi, makanan semua sudah siap terhidang. Aku labuhkan punggung dan melihat Faizal tersenyum. Ya Allah, kenapa hari ini aku rasa berdebar-debar melihat Faizal tersenyum manis macam ni. Kenapa selama ini aku tak rasa perasaan ni? Dalam tidak sedar, aku telah merenung wajah Faizal agak lama.

"Kan saya dah kata, awak akan jatuh hati pada saya. Saya boleh jamin lah!!!! Awak sebenarnya nak kahwin dengan saya kan???", ledakan tawa Faizal membuat aku sedar. Allah malunya aku tenung Faizal sebegitu. Cepat-cepat aku menyuap nasi dan mata hanya menunduk, malu. Tiba-tiba Faizal memegang tanganku.

"Mata bengkak, napa menangis?", Faizal memang prihatin.

"Mimpi ayah", Alllahhh....mudahnya aku mengadu pada Faizal? Apa dah jadi dengan aku???

"Kita kan sedang usaha cari Gekko, saya janji saya akan bawak Gekko ke muka pengadilan walaupun dengan menggadai nyawa saya sekalipun. Jangan risau. Allah akan membantu kita", pujukan Faizal buat aku tersentap. Teringat kata-kata Panglima Hitam, dia mahukan Faizal sebagai 'tuan'. Ya Allah, aku mungkin tidak tahu perasaan aku yang mendatang, tetapi janganlah Kau mengizinkan Panglima Hitam memiliki Faizal.

"Tapi Gekko, Damia kata Gekko bukan.......", kata-kata aku dipotong. Pantas Faizal menyuap nasi ke mulut aku. Dikuis nasi yang bersisa melekat pada dagu aku. Masa ini aku melihat Faizal sangat kacak. Faizal mendekati aku dengan mengesot kerusinya dengan kerusi yang aku duduk. Hampir tersedak kerana Faizal menakuk tangannya yang besar dan berurat ke dagu aku untuk menyuapkan lagi nasi. Aku kaku tak bergerak, hanya mengunyah. Sekali lagi suapan Faizal ke mulut dan akhirnya aku mengigit jari Faizal. Faizal menjerit kesakitan.

"Saya sakit perut bukan cacat tangan, saya boleh suap makanan sendiri", geram tapi aku tahan gelak melihat reaksi muka Faizal. Kenapa aku nak tolak jika ada lelaki sebaik Faizal dalam hidup aku?

Tiba-tiba Faizal diam.........

"Hah, semalam masa jumpa Pak Kadir, saya rasa lain macam. Tak sedap hati tengok muka pelik Pak Kadir. Awak tahu.. dia jenguk saya kat pondok, sebelum masuk tu, dia tepat pandang pada teropong saya. Macam tahu saya sedang buat apa dan dimana. Tu yang saya ajak dia datang rumah mungkin saya dapat korek apa-apa. Saya dah periksa semua CCTV tiada yang pelik macam semua dirancang baik. Dan kalau perasan banyak tanaman baru kat area CCTV yang kita letak, bukan tanaman buahan atau sayuran tapi rumput biasa macam nak cover sesuatu. Padahal baru 2 minggu je kita datang pasang CCTV semua, haritu takde apa-apa cuma semak sahaja. Memang saya pelik lah! Saya tak boleh percaya sesiapa sekarang. Saya nak siasat sendiri", Faizal yang serius sudah muncul. Andaian Faizal yang cukup berpengalaman tak pernah aku sangkal. Kejituan beliau amat aku kagum.

"Saya ikut, bila? Kali ni kita berpecah. Abaikan area CCTV anggap sahaja itu sebagai umpan kita. Saya ada plan untuk Pak Kadir....", sakit hilang terus bila Faizal serius berbincang tentang Pak Kadir.

"Sayang, awak tu sakit dan tak elok perempuan datang bulan masuk hutan. Awak tunggu disini je. Saya akan bawak Yoo Han ikut bersama saya", saat ini Faizal masih mengambil berat tentang aku. Tapi dia macam tak kenal dengan perangai aku.

"No, i'm okay and i'm with you", terus laju suapan nasi. Faizal hanya memerhatikan perbuatan aku dan tersenyum.

"Amboi...kalau kerja nombor satu? Kalau sebut fasal kahwin, banyak sangat alasan. Kita kahwin ya Ira? Saya takut.....saya takut saya mati kempunan nak kahwin dengan awak", cara Faizal seakan mengugut aku tapi jauh disudut hati aku, aku telah menerima Faizal. Betul juga kata dia, dalam keadaan kami, takut kami terlanjur tanpa sedar. Lagipun, tiada lelaki lain selain Faizal bersama aku.

Aku hendak bangun dan berkemas tapi terduduk kerana Faizal memegang bahuku menunggu jawapan tadi.

"Iye..........tapi janji dengan saya awak jangan sebut fasal mati-mati. Awak nak saya jadi janda ke? Awak kene janji dengan diri awak, awak tak boleh tinggalkan saya", dari mana aku dapat keberanian untuk bercakap begini?

Anggota polis seperti aku sentiasa bersiap bila-bila masa sahaja. Aku yakin, Faizal ada menjaga aku. Kali ini, aku tekad untuk membawa Panglima Hitam bersama. Pantas curi-curi aku membaca mantera. Aku tak tahu apa akibat dari perbuatan ini. Tapi jelas sekarang aku tekad untuk selesaikan Gekko!

"Panglima Hitam, aku nak kau ikut aku dan beritahu aku semua perkara tersirat yang tak terlihat oleh hijabku. Selesai perkara ini Faizal kau punya!", arahan aku seakan 'tuan' kepada Panglima Hitam. Panglima Hitam hanya tersenyum.

Maafkan aku Faizal. Bab 'tuan' kita boleh selesaikan kemudian. Mungkin bantuan ustaz, pikir aku. Sungguh terdesak untuk menangkap Gekko. Wajah ayah jelas diingatan. Masih ada masa untuk aku rancang selamatkan Faizal dari Panglima Hitam.

Tanpa Faizal sedar, sebenarnya kami bertiga. Hanya aku yang dapat melihat Panglima Hitam. Kami menuju ke Felda Keratong semula. Kali ni kami tidak singgah di rumah tumpangan tapi berumah di dalam van. Di hentian R&R Temerloh kami bertukar kenderaan, Faizal telah menyediakan van yang lengkap dengan pelbagai teknologi litar CCTV. Aku pun tak pernah terfikir untuk berbuat sedemikian. Macam manalah kalau aku kehilangan lelaki sehebat Faizal??? Aku akan menyesal tak sudah.

Van kami berhenti di tepi pekan Felda Keratong. Diluar seakan van buruk yang terbiar. Tidak perlu keluar untuk makan, kerana ia lengkap dengan makanan dan minuman untuk beberapa hari. Kami keluar untuk ke tandas dan mandi. Semasa leka memeriksa dokumen, terasa sunyi, Faizal pula hanya diam. Bila aku menoleh, rupanya dia tertidur. Aku bangun dan mengambil jaket kulitnya dan menutup belakang badannya. Kasihan Faizal.

"Kau sebenarnye sayangkan Faizal kan? Ala...takpe, Faizal hanya menjadi tuan aku sahaja bukan aku bunuh dia pun", Panglima Hitam ingat aku bodoh? Biasanya makhluk macam ini perlukan tuan untuk menjaga makan dan badan untuk menumpang. Akhirnya Faizal yang sakit.

"Orang tua itu sebenarnya jelmaan Gekko. Jasad dia sebenarnya sudah mati dibunuh pengikut Gekko minggu lepas. Sekarang kalau kau nak jumpa Gekko, aku boleh jumpa dengannya dahulu", orang tua yang dimaksudkan adalah Pak Kadir. Mana mayatnya? Kasihan Pak Kadir telah menjadi salah seorang mangsa Gekko.

Tanpa mengejutkan Faizal dari tidur, aku keluar dengan plan aku sendiri. Ditemani Panglima Hitam aku rasa selamat. Kali ni aku yakin, aku dapat tangkap Gekko.

Bismillahi tawakkal tu'alllah ~~


Bersambung............

Tiada ulasan: