Sabtu, 30 Mei 2015

ISU VIRAL: YSPSAH BERHAD

Assalamulaikum dan salam sejahtera.

Saya Nadirah atau Nadey Khairudin.  Pada 27 Mei 2015 saya ada memuatnaikan status di Facebook mengenai: 
                           


Ekoran daripada status tersebut, saya telah memohon pihak Fan Page Sukan Star TV untuk memuatnaik status dan memberikan penerangan terperinci masalah yang berlaku. Walaupun telah diberi penerangan terperinci tentang masalah berlaku di YSP tetapi biasalah apabila sudah viral, ramai pula yang salah faham dengan apa yang berlaku. Salah status saya juga yang tidak jelas. Saya tak boleh harapkan semua orang baca keterangan terperinci, mereka mungkin lihat pada gambar status sahaja bukan pada fakta sebenar.

Masalah yang timbul sekarang adalah salah faham masyarakat pada YSP:
1         1)    YSP TIDAK pernah menghalang pekerja dari menutup aurat. Dari segi pakaian uniform perlu ‘tuck in’ atau diberi pilihan untuk berbaju kurung.
2         2)        YSP TIDAK pernah memberi saya surat amaran tetapi hanya teguran

       Saya mendapat amaran atau bak kata pengurus HR YSP saya hanya diberi peringatan dan nasihat untuk mematuhi peraturan syarikat. Faktanya, saya memang diberi amaran dan teguran secara “verbally”  atau erti lain dari percakapan atau melalui komunikasi oleh pengurus dan pihak HR. Berbeza kefahaman masing-masing tentang perkataan ‘warning’.

       Pihak YSP berasa tidak adil, kerana mereka tidak pernah mengeluarkan surat amaran (warning letter) kepada saya. Bagi mereka perkataan ‘warning’ itu tidak layak digunakan kerana tiada surat amaran yang dikeluarkan. Mereka berpendapat ayat warning yang saya war-warkan itu adalah terlalu keras untuk dipergunakan.

      Bagi saya, ianya berbeza, ‘warning’ percakapan dan ‘warning’ bersurat (bukti). Jika warning bersurat itu apabila kes berat, teguran berulang kali sehingga mengeluarkan amaran final. Baiklah saya mengalah. Salah saya membuatkan imej YSP tercalar dek isu kefahaman ‘warning’ ini.  

      Hal uniform, memang kesalahan saya pada hari itu tidak ‘tuck in’ kerana memakai seluar. Saya berasa tidak selesa aurat saya dipertonton. Maka saya memohon kelonggaran namun tidak dilayan.

     Berikutan dari hal uniform, saya juga ditegur kerana membasuh kaki di singki tandas. Untuk pengetahuan semua, bangunan LGB tiada pili air. Pada hari berkenaan kaki saya hanya kotor sedikit dan saya menggunakan singki di tandas untuk membasuh kaki. Saya rasa tidak perlulah untuk ke surau yang berada di level bawah bangunan LGB semata-mata kerana sedikit kotoran. Selama ini ramai di antara staf mengambil wudhuk di tandas tidak pernah menjadi isu kenapa basuh kotoran kaki yang sedikit menjadi isu? Jika mereka melarang untuk membasahkan lantai tandas, setelah membasuh saya mengelap titisan air di lantai sehingga kering. Jika membasuh kaki di singki tandas adalah satu kesalahan, saya dan staf lain tidak pernah diberitahu tentang peraturan sebegitu. Seadilnya diberi notis dahulu dan jika perkara tersebut berulang maka saya layak diberi teguran. Di sini saya secara peribadi merasakan mereka sengaja mencari salah saya seperti saya “trouble maker” di YSP.

     Jujur secara peribadi saya berasa adakah HR sedang mencari satu per satu kesalahan pada saya? Dengan itu saya merasa tidak adil jika dia mencari kesalahan saya sahaja. Oleh itu saya menaikkan isu pekerja lain yang juga tidak mengikut peraturan syarikat. Isu yang cuba disampaikan adalah isu DISKRIMINASI.

     Saya tahu, pada awal bekerja YSP telah dinyatakan peraturan pemakaian. Saya boleh memilih uniform atau baju kurung. Saya memilih untuk memakai uniform kerana masalah peribadi tidak mempunyai banyak baju kurung. Sebab itu saya memohon HR mempertimbangkan untuk tidak ‘tuck in’ sebab menjaga aurat tetapi tidak dilayan. Isu ini bukan saya seorang sahaja, malah pekerja-pekerja di YSP Bangi juga telah menulis surat rayuan/aduan untuk mempertimbangan dari segi pemakaian wanita muslim.

     Selama 3 tahun saya bekerja di YSP, saya mengikut peraturan syarikat. Saya memakai skirt labuh, tuck in uniform dan bercardigan labuh. Sejak berulang-alik ke YSP Bangi atas urusan kerja, saya juga memerhati ramai di antara pekerja wanita muslim YSP Bangi tidak ‘tuck in’ baju. Bak kata pengurus saya, saya tidak boleh membandingkan pekerja dibahagian Operasi. Tetapi yang saya lihat bahagian R&D dan dibahagian lain juga, ada di kalangan pekerja-pekerja senior tidak ‘tuck in’ baju. Jika di Bangi isu ini tidak berbangkit, maka di TTDI juga tiada masalah.

     Apabila  saya ditegur saya persoalkan mengapa YSP Bangi boleh tidak 'tuck in' dan isu skirt pendek yang tidak mengikut peraturan tidak dinaik kemuka pengadilan juga? Jawapan HR pada saya, mereka yang bersalah sudah diberi teguran malah ada yang sudah diberi surat amaran tanpa pengetahuan saya dan umum. Secara logik, seperti kesalahan saya yang telah ditegur, maka esoknya saya memakai skirt labuh dan tuck in semula. Tetapi mengapa staf lain yang bermasalah masih lagi tidak mematuhi peraturan? ADAKAH BENAR STAF ITU TELAH DITEGUR OLEH HR BERULANG KALI? Lebih lucu lagi, staf yang bermasalah  itu sendiri daripada salah seorang bahagian HR juga.

     Oleh itu isunya di sini adalah sikap HR yang berat sebelah. Maka saya merayu untuk mempertimbangkan semula permintaan saya agar pekerja wanita muslim diberi kelonggaran untuk tidak ‘tuck in’ uniform. Tetapi permintaan saya segera ditepis tanpa sebarang tolak ansur dalam perbincangan saya, HR dan pengurus saya. Saya juga ditegur agar tidak membuat sebarang masalah di YSP. Adakah adil untuk saya berdiam diri? Adakah saya sebagai pekerja biasa tiada hak untuk bersuara?

     Kenapa viralkan? Setelah pelbagai aduan dibuat dari dulu tetapi tiada respon, ada juga menasihati saya bahawa usaha membuat aduan pada pejabat buruh juga tidak membantu malah kes rakan saya pihak Pejabat Buruh memberi nasihat untuk kekal sahaja di syarikat berkenaan atas alasan ekonomi negara sedang meleset. Bagi mereka masalah ini remeh sahaja. Saya berfikir mengapa saya harus mengulangi langkah-langkah dan usaha yang jelas akan menemui jalan buntu untuk bersuara?? Bagaimana cara lagi untuk bersuara? Saya bukan orang yang kaya ada pengaruh, kuasa politik untuk tegakkan hal ini?? Sebab itu saya membuat keputusan untuk viralkan di media sosial. Saya tahu akibat buruk dari tindakan saya, reputasi masa depan akan terjejas tetapi jika bukan saya yang bersuara beritahu semua orang, maka tiada yang berani bertindak.

      Hari pertama viral di media sosial, saya mendapat banyak respon positif. Isu diskriminasi HR bukan topik utama tetapi isu agama yang dipertengahkan pula.  RUPANYA ADA BANYAK SYARIKAT DI MALAYSIA LEBIH TERUK DARI SYARIKAT SAYA, YSP. Ada yang memberitahu, mereka tidak boleh solat dan tidak boleh menutup aurat. Rupanya TERBONGKAR, ada isu lagi besar daripada isu saya yang remeh temeh ini tetapi kenapa syarikat tersebut tidak pernah diambil tindakan serius? Kenapa ramai baru tahu isu ini adalah berat?  Kenapa syarikat itu tidak menjadi viral? Mungkin sebab aduan telah dibuat tetapi tidak diambil peduli. Tiada tindakan oleh pihak berkuasa.

      Walaupun isu di YSP kecil sahaja tetapi setelah dua hari viral status saya di Facebook, salah seorang pengurus memberitahu, Jabatan Agama Islam Kerajaan telah menghubungi YSP untuk mendapat keterangan lebih lanjut mengenai isu ini.

Anda lihat? Dalam masa 2 hari sahaja pihak berkuasa terus mengambil tindakan. Bukan itu sahaja, saya percaya banyak lagi syarikat lain takut reputasi mereka terjejas seperti contoh  yang terjadi pada YSP. Walhal, isu di YSP remeh sahaja kalau nak dibandingkan dengan yang lain.

     Kemudian saya dipanggil untuk berbincang hal ini. Pihak pengurusan majikan dan pegawai HR, 4 orang berjumpa dengan saya seorang. Mereka memberi peneguran kepada saya, tindakan viral ini telah menjejaskan maruah YSP. Mereka menasihati saya agar menggunakan aduan pada saluran yang betul, bukan dengan tidakan yang tidak matang ini.

    Padahal, tindakan saya itu telah dipertimbangkan seputusnya sebelum memviralkan isu ini. Saya membuat keputusan yang berisiko ini. Jika isu ini tidak viral, mungkin isu ini akan diam seperti kes-kes aduan sebelum ini. Tiada niat untuk jatuhkan maruah YSP, niat asal saya adalah hak keadilan HR pada saya.

    Jika ramai mengutuk tindakan saya tidak matang, terpulang!! Kerana saya juga mempunyai sebab munasabah saya sendiri, maruah saya dan etika hidup saya. Dari dulu lagi saya seorang yang agresif, tegas dan jenis tidak suka ditindas. Dengan atitud saya sebegini, saya sering mempersuarakan keadilan bersama. Tetapi bak kata orang, kadang-kadang niat tidak mengHALALkan cara dan tindakan (ikut emosi). Maaf jika cara saya tegakkan keadilan menjengkelkan perasaan anda semua. Maaf jika cara saya bersuara tidak kena pada prosedur. Maaf jika saya tak dapat puaskan hati anda semua. Maaf jika usaha saya pertahankan aurat saya dianggap merapu!

     Saya tahu khilaf saya, saya manusia biasa, saya tak boleh fahamkan semua orang tentang niat saya. Demi Tuhan saya, tiada secebis niat untuk gila glamour, tiada niat ambil kesempatan pada viral ini, tiada. Mungkin kisah saya menjadi pengajaran atau satu kesedaran pada semua, bergantung pada anda lihat pada sudut positif atau negatif. Yang buruk semua dari saya, yang baik hanya dari Allah SWT. Jangan salahkan agama atau bangsa saya dengan kesalahan saya. Mungkin juga saya memandang kes ini adalah pengakhiran satu jalan untuk sesuatu yang baru lebih baik. Sebagai seorang Islam, saya dengan ini memohon maaf kepada semua pihak.

Salam- Siti Nadirah Binti Khairudin.