Jumaat, 30 Disember 2016

SALAH LOKASI

Seorang gadis terlantar di tanah bagai menyerah diri pada cahaya matahari menjamah tubuhnya. Diperhatikan lama reaksi pelik gadis asing itu. Izz hanya menjadi penonton, menunggu sabar untuk reaksi gadis itu.

"Mati ke pengsan ke?", desis Izzu namun bebelannya terdengar oleh ibunya yang sedang mengelap meja luar rumahnya. 

"Kau pergi tengok Izz, die pengsan tu. Mak tak pernah tengok dia ni. Mungkin pelancong", tanpa berfikir maknya terus baik hati menyuruhnya untuk melihat keadaan orang asing yang berkelakuan pelik tidak jauh jarak dari rumahnya.

"Mak tak tengok berita ke? Ramai orang jahat sekarang. Lagi-lagi perempuan yang menyamar. Tulah mak, kalau kena kat kita macam mana?", Izzu tetap takut nak menjengah. 

"Mak rasa tadi masa mak masak lagi mak intai dia dah ada kat sana. Mak ingat dia main-main ke berlakon ke... tapi ni dah lama sangat", mak Izzu masih tak puas hati. Akhirnya dia keluar mencapai selipar, tak tahan nak tahu tentang gadis pelik tu. Izzu hanya lihat dari jauh, matanya sempat melihat kayu cangkul terselit tepi pagar, stand by kalau-kalau perempuan tu buat hal.

"Adik..... ", terkejut sehingga terduduk. Terus Izzu mencapai kayu cangkul berlari tanpa sempat memakai selipar. "Kenapa mak??!!!".


"Muka dia Izz..... muka dia Izz.....", Izzu terus menarik maknya bangun dan menjauhi jasad tidak bermuka itu. Kosong, tiada hidung, tiada mulut, tiada kening, tiada mata. Automatik, seram sejuk naik kepala Izzu. Kedua-duanya bergerak secara mengundur. Kami lihat kiri kanan seperti mengharapkan ada orang kampung lalu dan menjadi saksi ketiga. 

Lama menunggu, tiada yang lalu-lalang. "Iman!!! Kau pergi rumah Pak Jan depan tu panggil dia kesini... cepat!", jerit Izzu pada adik bongsunya. Berlari-lari budak lelaki 4 tahun ke arah rumah jirannya. 

Tak lama kemudian, kelihatan Iman menarik tangan orang tua yang terbongkok-bongkok laju kearah mereka. 

"Kenapa? Aku ralit tengok tv, kenapa? Apa benda?", Izzu dan maknya pelik, orang tua ni buta ke apa? Serentak mereka menunjuk kearah gadis pelik yang masih terlentang tu. 

Sekali lagi "Apaaaaaaaaaaaaa??? Hish anak beranak ni suruh aku tengok tanah. Mana? Ade ulat pelik ke?", Pak Jan marah-marah dan menunduk ke arah telunjuk mereka. 

Serentak juga, mak dan Izzu saling memandang dan menekup mulut. Dapat agak apa yang dikatakan dalam hati. "Pak Jan tak nampak ke? Ini perempuan ni!", Izzu bersungguh-sungguh kali ni.

"Kau nak PRANK aku kan? Kau ingat aku bodo? Ada kamera tersorok ka ni?? Mana?? Mana?? Huh.... malas aku layan anak beranak ni. Buang masa aku je", Pak Jan terus berlari ke rumahnya. Mak, Izzu dan Iman masih tergamam. Mati kutu.

"Mak, mungkin kita je nampak hantu ni", Izzu menarik mak dan Iman pulang semula ke rumah. Menutup semua pintu dan tingkap. Walaupun tengah hari, panas namun mereka sekeluarga sudah takut. Maknya menggagau beg tangan mencari telefon bimbit. Sudah pasti suaminya yang dicari, mungkin keluarganya dalam bahaya. Dial demi dial tidak bersahut, gelisah hati jangan cakap. Menggigil.

"Kita tunggu ayah pulang kang. Meh Iman, mak takut", tak tahu nak rasa apa. Tapi melihat reaksi maknya seperti sangat takut. Namun, Izzu rasakan biasa-biasa malah perasaan ingin tahu itu lebih dari perasaan takutnya. 

"Mak... mungkin alien mak. Izz tak rasa dia hantu sebab Izz ...."
"Jangan.... Izz kau jangan mengada keluar. Tak lama dah, ayah naik darat nanti kita keluar", mengeluh Izzu mendengar arahan mak.

'Tok...tok...tokkk'

Satu keluarga terkejut sehingga semua terjerit sebaik sahaja pintu rumahnya diketuk. Masing-masing mendekati antara satu sama lain. Iman sudah merengek takut. 

"Siapa???!!!", Izzu menjerit.

'Tok...tok....tokkk' 

Tiada yang menyahut. Izzu berlari arah dapur dan mengintai keluar, JASAD PEREMPUAN TADI HILANG!

"Makkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk..... perempuan tu dah tak ada kat belakang!", sebaik sahaja mendengar jeritan Izzu, maknya terus duduk memeluk erat si Iman, ketakutan.

Tanpa sempat menghalang Izzu, anak lelakinya lebih pantas membuka pintu dengan berani.

"Kau nak apa???", jergah Izzu. Menjerit-jerit maknya dan Iman di dalam rumah. "Tutup pintu!!! Izz!!", sedikit pun tak diendahkan Izzu.

Gadis tak bermuka itu, bersimpuh di kaki pintu sugul sambil meraba-raba wajahnya. Dari gerak tubuh bahasanya seperti dia juga tak tahu apa yang terjadi. Lihat panik tubuhnya meraba-raba wajahnya. Lama begitu, Izzu mendekatinya. Dipaling pula ke arah maknya..

"Mak... sian dia mak. Tengok dia buat signal tak tahu kenapa ngan muka dia mak. Dia mintak tolong", pujuk Izzu pada maknya. Terkebil-kebil mereka melihat tubuh bisu itu cuba menerangkan sesuatu sambil membuat simbul maaf berkali-kali.

"Kau nak mak buat apa. Izz, jangan libat famili kita la Izz, hantar dia ke rumah Pak Jan", berkali-kali maknya ulang arahan supaya gadis tak bermuka pelik tu mejauhi keluarganya. Waktu begini dia kuat berzikir supaya dirinya bertenang. Naik darahnya pada Izzu yang berani-berani berdepan dengan orang pelik tu. 

"Mak...... dia pengsan", Izzu menjerit lagi. Bersusah payah Izzu menarik berat badan perempuan itu ke arah berandanya di bawah kipas. Berkali-kali Izzu perciknya air pada area mukanya yang kosong itu. Tiada respon. 

"Mak pon rasa dia mahkluk asing Izz. Tengok la macam sempurna betul badannya, kukunya memang macam kita kan. Cuma muka dia je eh... seram!!", lama juga maknya lembut hati memberi respon tenang pada Izzu. Tadi penat Izzu mendengar maki hamun maknya marah. 

"Mak... Pak Jan tak nampak dia, kita je nampak. Hantu mak hantu, bukan makhluk asing", sengaja ditakutkan maknya. Tapi pelik juga respon Pak Jan tadi. Reaksinya betul, tak kan la orang tua tu boleh menipu reaksi pada kami tadi.

"Iman!!!! Kau buat apa ya Allahhhhhhhh", Iman terkejut disergah maknya.

"Dah dia tak de muka, Iman lukis la muka dia...."


Ahad, 18 Disember 2016

IMPIAN TUA SENDIRIAN


Sedih atau tidak membaca tajuk kali ni? Bukan nak tujukan khas pada golongan yang tertentu namun artikel ini betul-betul tentang perkongsian cita-cita dan pandangan peribadi.

Ada banyak sebab mengapa ada sesetengah orang memilih untuk hidup berseorangan. Mungkin bagi segelintir dari anda akan memandang negatif dengan impian ini dan banyak juga kita menerima nasihat untuk sentiasa positif dan usaha untuk berkahwin, mencari keluarga lengkap seperti orang lain. Hidup sendirian tidak bermaksud terasing terus dari masyarakat. Tema hidup kita kadang-kala lebih kepada kebebasan. Bebas dalam prinsip serta bebas untuk membuat keputusan. Tidak terikat dan cabar kemampuan diri sendiri.

Fikir positif untuk hasilkan sesuatu yang positif. Mungkin kita tidak sedar bahawa golongan andartu atau bujang terjalak mempunyai sejumlah populasi agak besar dalam masyarakat kita, namun bagi adat pandangan orang Malaysia yang membuatkan golongan ini seperti samar dan tidak penting. Yang penting dan normal hanya golongan bekeluarga sahaja. Tidak begitu? Golongan andartu atau bujang terlajak lebih terjerumus dengan sindirian masyarakat.
Bukan semua antara kita yang diuji lengkap keperluan hidupnya. Mungkin ada beberapa sebabnya ada antara kita masih dalam kategori ‘terasing’ ini. Antara penyebab wujudnya golongan terpencil ini:
  1. Jodoh

Isu jodoh ini adalah rahsia Tuhan sepertimana kita tidak tahu bila ajal menjemput. Mungkin juga jodoh separuh jalan. Sukar untuk mengatur apa terjadi di masa hadapan hidup kita.

2. Sakit
Diduga menghidapi sesuatu penyakit. Terpulang pada pendapat masing-masing, contohnya isu sensitif, mandul, berpenyakit kanser terminal dan sebagainya. Ada yang berpendapat jika dapat elakkan keruhan isu di masa akan datang lebih baik dia terus tidak memberi bebanan pada sesiapa. Memang kita harus menghadiri sesi terapi psikologi agar terus positif dan lebih menghargai diri dan nyawa yang dipinjam. Namun penghidap sahaja yang memahami isu rumit ini jadi hormatlah pada pandangan mereka.

3. Keluarga


Ada yang memilih untuk tidak berkahwin hanya kerana ingin menjaga ibunya sepenuh masa. Sepenuh masa, maka tiada pendapatan tetap dan yakin tidak mampu untuk berkeluarga. Menolak beberapa tawaran untuk mendirikan rumah tangga kerana yakin dia tidak akan dapat memberi perhatian sepenuhnya pada ibu bapa.

4. Penyakit jiwa
Ada golongan yang lebih suka bersendirian dan tidak selesa ruangnya dikongsi. Contohnya, semua aktiviti di dalam biliknya terpaksa dikongsi, koleksi peribadi terpaksa dikorbankan dan banyak lagi barangan peribadi hilang hak privasi jika berkahwin. Mungkin bagi sesetengah orang perkara ini isu kecil namun bagi sesetengah yang lain mereka berasa tertekan sehingga perlu mendapatkan khidmat nasihat ahli psikologi.

5. Phobia
Contoh Chronophobia atau fobia dengan masa hadapan. Mungkin tidak masuk akal bagi anda namun fobia ini betul-betul wujud. Mungkin fobia ini dari pengaruh persekitaran seseorang ini sejak kecil. Ada banyak kemungkinan di mana dia adalah salah seorang mangsa dera atau pernah mengalami kegagalan dalam hubungan/ perkahwinan beberapa kali membuatkan dia memilih untuk hidup bebas bersendirian dengan selesa.

6. Sikap


Sikap yang dibenci dan menjadi punca penceraian adalah sikap negatif seseorang yang terpaksa kita terima. Sangat biasa jika mendengar keluhan dari seorang isteri bahawa mereka penat menguruskan hal rumah tangga dan keluhan suami pula mengatakan isteri tidak pandai mengurus hal rumah pengotor dan sebagainya. Isu ini bukan isu yang remeh.

Banyak lagi penyebabnya jika kita ulas dengan lebih mendalam. Mengikut dalam kebanyakan negara dari Korea dan Jepun, isu andartu dan bujang terlajak bukan sesuatu yang memalukan malahan masyarakat mereka tidak memandang serong golongan terasing ini. Banyak rumah mereka yang dicipta untuk kediaman perseorangan. Bagi mereka hidup sendirian tidak bermakna anda terasing tetapi anda lebih bebas untuk membuat banyak aktiviti dan hiburan bersama rakan serta komuniti.

Memang sebagai lumrah hidup ini berpasangan, namun ada juga yang diuji untuk bersendirian. Kita tidak tahu masa hadapan jadi kita harus hargai hidup sebaik mungkin. Pilih positif dalam kehidupan anda agar anda tidak akan ‘sendirian’. Ubah persepsi anda tentang artikel ini. Sebarang perkongsian pendapat dan cerita boleh dicatatkan di ruangan komen.

Rabu, 14 Disember 2016

STORY SPOILER a.k.a SPOILER PARADOX


Baik atau Buruk?

Artikel kali ini mengupas tentang isu story spoiler atau secara terma psikologinya dikenali sebagai Spoiler Paradox. Biasanya kita kaitkan dengan spoiler bahan bacaan, novel, drama atau filem. Namun kita akan dapat lihat sikap itu terdapat pada diri kita sebenarnya. Pasti ada segelintir dari jiwa kita mempunyai sifat hidden spoiler namun masih menafikan. Sepertimana perjalanan hidup kita, tiada siapa boleh menjangkakan cerita hidup masing-masing sejak lahir hingga akhir hayat. Yang tercatat hanyalah sejarah.

Hiburan bercerita adalah sifat manusia sejagat merentangi budaya, peradaban dan masa. Cerita menghubungkan idea kompleks, dari kepercayaan keagamaan ke nilai kemasyarakatan. Kajian terkini dalam jurnal Psychological Science menyatakan bahawa ‘Spoiler Paradox’ adalah seseorang yang lebih cenderung untuk terus mengetahui penghujung jalan cerita sebelum mengikuti sesuatu cerita dari awal. Bagi mereka ini tidak akan merosakkan nikmat sesebuah cerita malah ia akan membuatkan sesebuah cerita itu lebih menarik. Siapa setuju dengan fakta ini?

Kita pasti mempunyai seorang rakan yang merupakan ‘spoiler storyteller’ sehingga kita merasakan dia adalah gangguan emosi kepada sesebuah bahan penceritaan. Jika dia membeli bahan bacaan seperti novel, dia akan membaca babak terakhir dahulu. Selain dari menjadi spoiler storyteller, kita dapat perhatikan sikapnya itu pada latihan pembelajaran. Orang seperi ini lebih cenderung untuk mendapatkan jawapan dahulu berbanding dengan berusaha pelbagai cara menyelesaikan masalah dari awal. Dengan sikap inilah orang seperti ini sering memberi idea bernas untuk merungkaikan perumitan dengan solusi mudah dan lebih jelas.

Untuk sesebuah filem atau drama, dia akan menonton episod terakhir dan seterusnya turun seperti tangga. Pelik bukan? Seperti penceritaan berbalik (reverse story). Lebih lucu untuk mengetahui lebih terperinci dia akan mencari maklumat dari spoiler-spoiler yang lain, biasanya perbincangan di forum-forum.

Lebih menarik jika saya kupaskan dengan isu TIDAK SETUJU dengan golongan ‘spoiler’ ini dahulu. Seperti artikel saya sebelum ini, manusia sememangnya kompleks. Ini tidak bermakna semuanya dari kita adalah betul. Setiap perkara mempunyai kebaikan dan keburukan, bergantung pada penerimaan seseorang mengenai golongan Spoiler Paradox.

TIDAK SETUJU? Ada yang berpendapat apabila kita mengetahui pengakhiran cerita atau kesimpulan ‘as expected’ itu pasti akan terus hilang nikmat sesebuah cerita. Walau menarik macam mana sekalipun sesebuah cerita seperti yang diviralkan, kepuasan itu masih tidak maksimum. Biarlah mengikuti perjalanan penceritaan dari awal, satu per satu kejutan babak demi babak.

SETUJU? Sebenarnya jika kita fikir berada di tempat ‘Spoiler Paradox’ ini sebenarnya ada banyak isu tersirat boleh dikupaskan. Golongan ini hanya perlukan ‘booster’ sebagai kesimpulan dari perjalanan cerita kompleks. Booster itu akan membuatkan golongan ini penuh dengan tanda tanya. Cerita tergantung tanpa solusi akan menimbulkan persoalan kenapa, apakah, siapa, bila, dimana yang mencorakkan sesebuah perjalanan cerita sehingga mempunyai pengakhiran sebegini. Dari tanda tanya inilah membuatkan sesebuah cerita itu lebih menarik.

Ini berkaitan secara psikologi dikenali sebagai “teori minda”. Mempunyai suatu teori minda bererti mempunyai keupayaan kepada sifat minda iaitu keinginan, motivasi dan tujuan menjelaskan tindakan atau kelakuan. Ini penting kerana sebuah cerita baik memenuhi fungsinya dengan berkesan dan mampu berkomunikasi maklumat kepada orang lain.

Golongan spoiler ini mampu membuatkan sesuatu cerita yang rumit menjadi suatu motif jalan cerita yang mudah ini kerana kesimpulannya atau kesudahannya sudah diketahui. Keupayaan untuk menghadam secara terperinci prosesnya dengan mudah membenarkan anda lebih melibatkan diri dalam penceritaan dan mencapai pemahaman kepada satu peringkat yang lebih dalam. 

Sebenarnya golongan pasif memerlukan golongan spoiler ini untuk mengkaji sesebuah cerita dengan lebih mendalam. Mungkin sinopsis ringkas sahaja tidak dapat memenuhi kepuasan pemikiran setiap orang.

Apa pendapat anda? Adakah anda kini tergolong dari ‘spoiler paradox’? Lumrah manusia penuh dengan sifat ingin tahu. Logik atau tidak dengan golongan reverse psychology atau psikologi berbalik ini lebih menarik sebenarnya.

Selasa, 6 Disember 2016

PENYERAHAN KUCING PERCUMA?! (SEDIH)

Dengan air mata aku memulakan dengan Bismillah. Sebak sungguh untuk memulakan cerita kali ini.
Bermula dengan Brody, kami sekeluarga gembira dengan kehadiran kucing setelah lama memujuk ibu ayah untuk terima ahli keluarga baru. Sejak kehadiran Brody, kesihatan Ibu bertambah baik (Ibu lemah jantung, injap bocor). Ajaib bukan, kerana makhluk Tuhan sempurna ni buat kami satu family gembira. Alhamdulillah.

Brody macam ada satu aura yang dia boleh ajak geng2 dia datang rumah makan dan tidur. Maka keturunan Brody semakin berkembang. Sehinggakan ada beberapa kucing datang beranak rumah kami. Kami positif, kami adalah orang terpilih untuk jaga mereka. Kami sayangkan kucing seperti ahli keluarga. Sakit, kami bawa jumpa doktor, mati kami tanam dengan hormat bukan buang seperti sampah. Allahuakbar, sayang tu anugerah terbesar pada kami sekeluarga.
Baru-baru ni 3 ekor kucing beranak serentak sebelum sempat kami mengumpul dana sekeluarga untuk kasi mereka (mandulkan). Bukan nak berkira namun, kami bukan keluarga yang senang, maka kami consider bulan demi bulan. 16 ekor masih bayi kami seronok syukur tak terkira. Namun kami jujur kami tak mampu jaga semuanya, plus dikawasan perumahan kami jiran-jiran sering memberi racun. Kami betul-betul takut untuk melepaskan kucing keluar. Jika terlepas, Allah je tahu betapa risaunya kami. Sudah beberapa ekor kesayangan kami mati dengan azab. Satu demi satu pemergian mereka bukan kerelaan kami. Sedihnya terkesan selagi kami hidup.

SEMUANYA KALAU.......

KALAU aku kaya, aku tak perlu kerja, jaga kalian semua sahaja
KALAU aku kaya, aku akan buatkan rumah khas untuk kamu semua untuk hidup bebas gembira
KALAU aku kaya, aku akan kasi semua, cukup vaksin dan keperluan kesihatan maksima
KALAU aku kaya, aku akan berikan makanan terbaik untuk kalian

 Memang tak sampai hati nak lepaskan diorang. Ya Allah siapa tak cair tengok baby mcm ni?


Sakit ke cacat ke hitam ke macam mana pun, sayang tu tak pernah berbelah bagi. 

Saya ada mencari beberapa tempat untuk penyerahan kucing, namun semuanya bukan percuma. Rm100/ ekor. Saya tidak mampu untuk RM1600 untuk kesemua penyerahan. Saya faham apalah sangat RM100 untuk seekor. Kerana penjagaan mereka memang makan kos. 

Namun sedihnya kami sekeluarga tidak mampu untuk harga itu. Kami terdesak untuk mencari keluarga angkat mereka sebelum ibu ayah saya ke Mekah tahun hadapan. Sebak, berat hati kami untuk menceritakan masalah ini. 

Kami sedaya upaya laksanakan amanah sebaik mungkin. Bagi sesiapa yang sudi untuk menerima anak-anak kami sebagai ahli keluarga baru boleh hubungi kami. 

Nadey - 0133947735