Khamis, 23 Mac 2017

CCTV - Part 1

Nama aku Emy, aku bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat kecil perniagaan membekal dan menjual pelbagai jenis mesin. Disini hanya aku seorang pekerja Melayu, lagi lima orang semuanya berbangsa Cina termasuk bos aku. Despatch pun berbangsa Cina walaupun rupanya sangat Melayu, Sabahan katakan. Kami baru sahaja berpindah pejabat di kawasan perindustrian area Ampang. Jika dulu pejabat aku hanya setingkat dan suasana riuh penuh orang kiri-kanan pejabat kerana disitu terdapat banyak gerai makan. Kini, sunyi. Kiri kanan seperti bengkel kereta, kilang minyak masak dan banyak lagi kedai-kedai kosong. Pejabat baru ini bertambah keluasannya (berganda), kami mempunyai 3 tingkat, di bahagian bawah sekali stor simpanan mesin-mesin dan alatan yang lain. Stor di bahagian bawah boleh digambarkan besar seperti tiga gelanggang badminton. 

Sejak berpindah disini, pada mulanya aku hanya beranggapan bangunan ini bangunan lama. Lampu dinding banyak yang rosak, dinding cat bercapuk dengan debu dan bersawang. Disebabkan ketinggian stor itu sukar dicapai oleh tangga yang kami miliki, maka tiada siapa yang boleh bersihkan. Begitu juga dengan lampu, maka beberapa bahagian ruang dibiarkan gelap. Berkali-kali kami beritahu pada penyewa berkenaan penyelenggaraan namun janji tinggal janji. Disebabkan sewa pejabat baru ini murah maka bos hanya diamkan diri. Hanya stor sahaja mempunyai masalah begitu, di pejabat bos dan pejabat kami tiada sebagai masalah. 

Disebabkan mesin-mesin kami agak mahal sehingga makan berjuta harganya pun ada, maka bos memasang lapan buah cctv dan alarm khas untuk pintu. Jika alarm pintu berbunyi lebih dari tiga minit anggota polis akan menghubungi bos dan datang ke pejabat. Begitu ketat sistem perlindungan di pejabat kami. Orang kata luar nampak cikai dalam seperti lombong emas. 

Sepanjang lima tahun aku berkhidmat dengan syarikat ini, alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Kerja sebagai seorang kerani sememangnya banyak kerja setiap hari, namun sudah rutin maka ia bukan lagi suatu beban walaupun kerja bertimbun, kerja mudah. Suatu hari staf despatch dan seorang lagi kerani memberitahu tidak dapat hadir kerana tidak sihat. Lagi tiga staf Sales termasuk bos, semuanya keluar menghadiri Expo Mesin di Johor. Maka aku seorang sahaja di pejabat ini!. Tidak semena-mena berdentum langit dengan kilat sabung-menyabung. Lihat ke cermin luar langit sudah gelap seperti memberi amaran dengan apa yang bakal berlaku. Walaupun jam menunjukkan jam seawal 9.30 pagi namun gelapnya seperti sudah maghrib.

Masa tiada cukup kaki-tangan inilah telefon bertalu-talu masuk. Betul-betul tak menang tangan. Isnin biasanya ramai yang akan Monday Blues tapi aku tak sempat nak layan perasaan blues tu. Dalam masa tiga jam bergelut dengan timbunan order dari pelanggan, aku mengeluh.

"Aku kena pack order sorang-sorang la ni kat bawah!!", sumpah aku dah mula rasa takut. Masa ni aku fikir macam-macam dengan suasana gelap dan stor yang malap. Aku tiada pilihan. Kebiasaan budak despatch yang akan buat pembungkusan barang order.

Aku dengan berat hati turun ke bawah menuju ke stor. Aku membuka semua suis lampu. Keluhan sekali lagi kedengaran, tiada beza. Cuaca gelap diluar menambahkan lagi suasana gelap di dalam stor ini dengan bunyi percikan air gerimis membalas dengan zink atap cukup membuatkan bulu meremang. Sudahlah benak kepala penuh dengan peringatan berulang 'takut takut takut takut' namun tanggungjawab perlu diteruskan. Aku mendongak memandang CCTV, aku pujuk hati.

"At least kalau ada apa-apa yang berlaku CCTV akan rakam semuanya", yakin.

Bila fikir semula, jadi apa? Aku sorang je dalam stor ni pun. Fokus aku kembali pada kertas order.

"Alamak barang kat loteng pulak.............kena panjat loteng pulak", aku ni memang gayat lagipun loteng berada di bahagian belakang stor berdekatan dengan dua tandas rosak. Aku beranikan diri kebelakang sempat lagi aku menjeling dua tandas rosak yang tertutup itu sebelum ke arah tangga loteng. Menjerit-jerit aku memanjat tangga. Masa ni memang kena kuatkan semangat. Biar bos tahu kau mampu buat kerja ini seorang. Macam-macam lagi aku bebel seorang diri. Sebaik sahaja turun tangga, hujan lebat seperti batu sedang menyerang atap. Disebabkan terperanjat terus perasaan seram tadi kembali. Cepat-cepat aku berlari ke bahagian depan stor untuk bungkus barang ke dalam kotak.

Masa ni bising dengan bunyi hujan namun mulut aku tak berhenti zikir. Takut bukan kepalang. Mata aku tak tahan untuk berkali-kali pandang ke arah area belakang stor. Takut-takut ada yang menyergah. Firasat aku betul, kali ini aku mendongak mata aku tepat berbalas pandangan dengan satu jasad orang gelap. Aku sempat berfikir, aku hanya seorang disini! Siapa tu? Dengan pantulan cahaya lampu samar-samar itu mungkin khayalan tapi jelas itu bentuk seperti badan seseorang. Kelibat apakah?
 Sumber google (gambarannya lebih kurang begini)

Aku berhenti membungkus, tah mana dapat keberanian aku menunggu sebarang respon dari kelibat hitam itu. Jika dia bergerak aku akan buat langkah seribu. Sekelip mata kelibat itu hilang. Meracau aku mencari kiri kanan mana tahu kelibat itu semakin hampir dengan aku! Tiada, mungkin dia betul-betul hilang atau hanya khayalan aku. Rasanya, sudah tiba masa kau bertenang dan naik ke pejabat atas lagipun jam sudah menunjukkan sudah waktu makan tengahari. 

Sebaik sahaja aku naik atas, aku memeriksa TV yang mengawal kelapan-lapan CCTV termasuk di belakang stor. Aku terkejut melihat CCTV bahagian stor belakang, salah satu pintu tandas sudah terbuka luas. Walhal kedua pintu tandas yang rosak itu tertutup rapi, aku juga sempat lihat tadi sebelum memanjat loteng. Siapa yang buka? Jika betul yang aku nampak tadi area inilah muncul kelibat hitam tadi namun CCTV tiada menunjukkan rekod rakaman kelibat itu. Mungkin khayalan kau Emy! 

Aku mencari rekod rakaman sebelum pintu tandas terbuka. Memang sah, pada sela masa yang aku nampak kelibat itulah pintu tandas ini terbuka dengan sendiri. Ya Allah! Seriau darah naik kepala, seraya itu aku menjauhi TV. Kenapa perlu berlaku sekarang? Kenapa? 
Pintu tandas paling kiri terbuka sendiri.

Pada mulanya aku nak call Bos, mengadu. Tapi orang Cina moden tak percaya hantu-hantu lagipun ini syarikatnya, jika aku kecohkan nanti ramai pula yang takut. Mati terus niat aku dan kembali duduk di meja. Mata aku tak lepas melihat TV yang mengawal CCTV itu. Kesemua lapan rakaman dalam satu paparan. Aku boleh lihat semua, tapi mataku tetap tertarik pada CCTV di belakang stor. Allahh.

Hujan masih lebat, eloklah aku solat dahulu semuga Allah lindungi aku dari jin dan syaitan yang menganggu aku. Mujur tempat solat di dalam pejabat juga hanya dipisahkan dengan sehelai langsir tebal. Zikiran tak henti sehingga lengkap aku dengan telekung untuk memulakan takbiratulihram. 

"Allllahhhhhuuuuakkkbarrrr", belum sempat habis hela nafas dengan lafaz Allah Maha Besar itu tetiba "FUHHHHHHHHHH", telinga aku ditiup dengan satu angin yang kuat. Tepat pada telinga kiri. Aku terus menjerit kuat ketakutan. Aku keluar dari sebalik langsir dan ke meja kerjaku. Aku memandang CCTV sekali lagi. 

"Janganlah kacau aku hendak solat", aku beranikan diri bersuara. Setelah beberapa ketika semuanya senyap, tiada respon aku kembali ke ruang solat. Kali ni aku tekad apa pun yang kacau aku akan tetap teruskan solat. 

"Allahuakbar", pendek kali ini. Pada takbir kedua untuk rukuk tetiba aku dapat merasakan ada sesuatu di belakang aku. Paling jelas sekali bisikan "Allahuakbar" yang pasti bukan dari suaraku. Aku teruskan solat walaupun tak kyusuk. Semasa takbir sebelum sujud antara dua sujud, suara itu juga mengikut jelas lafaz "Allahuakbar.....". Respon suara bisikan yang kedua lebih jelas membuatkan degupan jantung aku bertambah kuat sehingga jelas kedengaran. Semoga Allah lindungi aku dari gangguan, tutupkan hijab mataku dari melihat perkara tak diingini ini. Itu sahaja niat terdetik. Aku perlu lengkapkan solat sehingga habis. 

"Assalamualaikum warahmatullah", aku takut untuk melihat kanan. Aku hanya menunduk bawah memberi salam. Tiba waktu toleh kiri mata aku gatal juga untuk melihat belakang. 

"Alllahhhhhhhhhhhh..........................."


"Emy!!!! Emy!!!, bangun!!! Kau kenapa?", tetiba aku dengar suara Ah Meng dan badan aku digoncang. Aku paksa mata untuk buka. 

"Kau kenapa tidur kat pejabat?? Bos call aku kata dia tengok CCTV kat handphone dia kau tak keluar dari tempat solat sejak tengahari tadi. Dia paksa aku singgah office tengok kau. Kau kenapa tidur tak sedar ni?", Ah Meng pimpin aku keluar dari ruang solat dan duduk diatas kerusi. Aku masih bertelekung, lihat luar sudah gelap. Melihat jam dinding sudah pukul 8 malam. Tak sangka lama aku pengsan. 

"Meng, tunggu jap aku pakai tudung. Temankan aku balik dan kunci pejabat", Ah Meng mengangguk. Bayangan tadi masih jelas dalam ingatan aku. Tak sangka ini kali pertama aku teruk dikacau oleh syaitan/jin sampai aku pengsan. Sebelum Ah Meng kuncikan pintu sempat aku melihat keadaan stor bersepah dengan barang-barang yang belum dibungkus. Sekilas begitu aku pandang, tidak berani jika bayangan tadi muncul semula. 

Sampai sahaja di kereta, Ah Meng mula bertanya. Setelah jauh meninggalkan pejabat, aku berani untuk bercerita. 

"Meng, aku tadi nampak hantu!!!!!!!!!!!!! Mula-mula dia kacau kat stor bawah, pintu jamban rosak tu terbuka sendiri. Pastu masa aku solat, mende tu tiup kuat kat telinga aku. Lepas aku habis solat, pocong Meng... pocong kat belakang aku, solat dengan aku!!!! Pocong Meng aku tak main-main", kali ni Ah Meng diam. 

Mungkin dia takut. Tapi sekilas mendengar dia tergelak kecil.

"Muka pocong tu macam mana? Macam ini ke?", pelik soalan itu pula yang ditanya. Patutnya Ah Meng respon cuak tapi sebaliknya. Aku kalih melihat muka Ah Meng. 

Sekali lagi aku menjerit dan aku............... aku pun tak tahu semua ini mimpi atau aku masih tak sedar-sedar dari pengsan tadi. 


-Bersambung-




Tiada ulasan: