Jumaat, 3 Januari 2014

2 ALAM - Part 2

2 ALAM - Part 1

"Awak nanti buat lah goreng pisang ke lepat pisang ke kek pisang ke pau pisang ke nanti bagi saya ya. Nak rasa masakan awak", berani Harris bersuara dalam kereta. Amboi order macam aku kedai makan je. Belum apa-apa pun suka-suka order nanti dah kahwin macam mana la ye....habis lah aku.

"Haaa dengar tu kak, Harris nak rasa masakan kamu. Balik ni terus goreng pisang tu bagi Harris rasa. Dia nak balik KL esok nanti kempunan pula", arah ibu setelah mendengar permintaan Harris. Ibu senyum seperti seronok sangat berkenalan dengan Harris. 

Gila...suruh aku masak pulak. Tak reti malu ke Harris ni. Betul ke dia tak kenal aku. Harris berborak semula berkaitan dengan pekerjaan aku sebagai Zoologi. Jakun agaknya, ramai tak tahu kerjaya seperti aku tu wujud. Mungkin ramai ingat aku kerja di zoo untuk cuci najis dan beri makan haiwan sahaja . Ibu hanya berdiam beri peluang kami berborak.

Sebaik sampai di rumah. Harris dengan gagahnya mengangkat tandan pisang yang berat itu ke dapur. Ibu pula pantas naik ke rumah dan bergegas untuk solat Asar manakala aku tidak boleh maka aku terus ke dapur mendahului Harris. Perlahan Harris meletakkan tandan pisang itu di tepi meja makan dan dia terus mengekori aku kemana saja aku bergerak.

"Awak nak apa? Air?", soal aku melihat Harris berpeluh-peluh.

"Nak awak, eh!!! Ok, ok saya haus nak air", pantas Harris mengelak cubitan aku. Aku menyuruh Harris solat dan turun makan. Harris menurut perintah seperti anak kecil.

Sementara menunggu ibu dan Harris selesai solat, aku menyiapkan bahan untuk goreng pisang. Ikhlas, cermat aku buat khas buat Harris. Beberapa minit kemudian terkejut aku bila Harris telah duduk di meja makan menunggu pisang goreng yang sedang menggelegak dalam kuali. Ya Allah, Harris membalas pandangan dengan senyuman cukup kacak bagi aku. Hati aku dah cair melihat Harris. Sungguh aku rindu pada Harris bertahun-tahun. Kini perasaan kembali bertaut perlahan-lahan.

"Lambat lagi ke pisang tu? Tak sabar ni nak makan masakan bakal isteri saya ni!", sekali Harris berjaya membuatkan aku seriau. Habis berpeluh satu badan bila otak kerap mengulangi ayat 'bakal isteri' itu. Harris ni macam betul-betul nak berkahwin dengan aku ke? Walhal kami baru berjumpa beberapa jam. Kenapa mimpi ni BEST sangat? Aku tak nak bangun.

"Sabar lah, melecur lidah awak nanti....pisang ni panas...", balas aku dengan lembut.

"Amboi, mesra sangat. Kalau macam ni kamu kena kahwin cepat ni", seloroh ibu buat kami berdua terkejut. Hah???? ibu dah plan nak kahwinkan kami cepat ke? Adui...betul ke ni? Muka aku merah padam menahan malu.

"Anak Mak Mah nak ke kahwin dengan saya? Saya ni tak ada rupa, harta pun, saya baru je bekerja. Kalau dia setuju esok juga saya datang", gurau Harris melayan ibu. Perasaan bercampur aduk maka aku hanya mendiamkan diri. Cepat-cepat aku menyediakan sambal hitam untuk dicicah dengan pisang goreng. Aku sesak nafas jika lama-lama duduk di dapur itu. Rasa tak selamat dari pandangan tajam Harris yang sering merenung aku. Ibu pula pantas menjamah pisang dan keluar untuk menyiram pokok bunga, menyapu dedaun kering yang hampir menutup bumi di hadapan rumah.

"Wow, pedasnya sambal. Ni macam marah saya bergurau dengan ibu tadi. Awak tak selesa ye? Nak halau saya balik ke? Saya tak puas lagi nak berborak dengan awak", sambil meneguk air masak beberapa cawan. Lucu melihat telatah Harris yang menggelupur menahan pedas. Salah aku, tak mengagak berapa batang cili yang diblender tadi.

"Harris, betul ke awak nak kahwin dengan saya? Kita belum kenal Harris jangan awak menyesal satu hari nanti", aku inginkan kepastian. Mimpi ini terlalu indah bagi aku.

"Awak tahu tak saya dah kenal awak sejak kita tadika. Terkejut? Dulu awak macam jual mahal dengan saya. Saya pun tak faham kenapa awak menjauhi saya sejak kita sekolah rendah dan sehingga habis SPM. Kenapa awak tipu yang awak sekolah di Bentong? Awak benci saya ke? So, boleh saya dapatkan alasan kenapa awak menjauhi saya selama ini? Mungkin awak benci anak yatim piatu macam saya? Atau mungkin awak marahkan saya tak melawat awak di hospital dulu?", kenyataan Harris ini buat aku terkejut sangat-sangat. Bukan apa yang dia rasa itu sebenarnya adalah kenyataan milik aku! Dia yang menyisih aku sejak aku sakit. Aku terdiam menunduk sambil menyusun ayat. Tiba-tiba telefon bimbit aku menjerit untuk dijawab. Aku melihat screen telefon nombor tak dikenali. Aku perlahan menjawab.

"Hello?".

"Haaa, ada suara pun ingat bakal isteri saya ni bisu. Ini nombor saya, save ok!", terkejut aku Harris di hadapan aku yang bersuara. Harris bangun dan menyatakan dia mahu pulang kerana sudah lewat menghampiri maghrib. Mungkin dia sengaja memberi masa untuk aku jelaskan semua persoalan dia tadi. Harris menyalami ibu dan terus memasuki keretanya tanpa menoleh kepada aku. Barangkali dia marah dan kecewa dengan aku .

Malam itu, aku baring sambil merenung telefon bimbit. Tiba-tiba Harris call!

"Assamualaikum, awak dah tidur? Saya saja call ni nak berborak dengan awak. Esok saya nak balik KL dah. Rasa macam rindu sangat dengan awak", romantik sangat suara Harris. Tetiba hati aku cair semula. Terus aku menjawab takut Harris menunggu di talian.

"Waalaikumussalam, esok balik pukul berapa? Esok saya plan nak masak pengat pisang. Awak nak tapau balik KL?", sengaja aku ubah topik, mengelak sebelum Harris bertanya berkenaan soalannya petang tadi. Mungkin kami perlu face to face dan berbincang.

"Gila tak nak!!! Esok pagi sesudah subuh saya datang tuntut pengat pisang awak", lawak Harris buat aku ketawa agak kuat sehingga ibu menegur. Ibu pula tersenyum seakan tahu dengan siapa aku berborak.

"Pasal saya tipu awak saya sekolah di Bentong tu.....saya minta maaf. Saya ada alasan saya.......", tetiba aku mengubah topik serius. Aku memang sukakan Harris sejak kecil dan dia sememangnya cinta pertama aku. Mungkin aku rasa kami perlu berbincang tapi suara aku tersekat untuk luahkan segala salah faham antara kami.

"Mungkin awak ada alasan kenapa awak menjauhi saya. Saya faham, biasalah remaja. Bila dah sedia awak cerita la ya. Tapi saya dah tak kisah dah, bagi saya itu semua sudah berlalu dan kita masih kecil waktu itu. Yang penting perkara sekarang, tentang kita. Mungkin terlalu cepat atau terburu-buru padahal kita baru jumpa tadi kan. Saya faham. Tapi sejak saya berjumpa awak semula hari itu, saya tekad saya tak nak lepaskan awak kali ini sekali lagi", Harris kelihatan begitu serius.

"Hari itu? Bila awak jumpa saya?", sejak bila Harris jadi stalker aku? Perasan.

"Hari tu, saya dan famili baru pulang dari KL. Kami nampak awak tertonggeng jatuh tepi longkang. Kami berhenti ingatkan nak tolong awak. Belum sempat saya keluar nak tolong, awak dah bangun pecut naik basikal balik rumah la kot.  Masa itu, muka awak bercahaya sampai silau mata saya. Macam bidadari. Bidadari tertonggeng tepi longkang HAHAHAHAHAH", cerita Harris yang awalnya serius bertukar jadi lawak. Susah nak tahan ego gelak dengan Harris ni. Malam itu, kami berborak banyak perkara. Inilah Harris yang aku rindu. Walaupun Harris sekarang agak berbeza dengan Harris waktu kecil tapi aku rasa seronok macam sambung semula memori zaman kami budak-budak. Ya Allah, aku bersyukur kerana Kau beri nikmat perasaan ini walaupun aku tahu ia terang-terangan mimpi sahaja. Aku sangat bahagia sekarang.

*************************************************

Aku tersedar. Allah pukul 5 pagi. Awal lagi. Aku terus tersenyum, aku seperti angau dengan Harris. Aku cuba untuk menyambung tidur dan mimpi, malang tak boleh pula. Maka aku terus bersiap ke tempat kerja. Sengaja aku keluar awal untuk solat subuh berjemaah di masjid TTDI. Di sana imamnya suara Subhanallah merdu yang amat.

Semasa sujud sebelum tahhiyat akhir, aku berdoa agar aku bertemu Harris. Rasa rindu ini menggunung. Tanpa sedar, air mata mengalir. Usai solat aku bergegas ke office dan berniat untuk tidur sebentar sehingga 8.15 pagi barulah untuk mulakan kerja. Keluar je aku dari masjid, aku melihat kelibat yang seiras Harris.

Betul ke atau ini khayalan? Perlahan aku mengikut dia ke kereta. Aku hanya memerhati dari jauh. Air mata mula bergenang menunggu untuk menitis. Mungkin aku terlalu mengikut perasaan dari alam mimpi tadi.

Aku menuju ke arah kereta aku yang terletak di seberang jalan. Hati aku berombak selepas melihat lelaki yang seiras Harris tadi. Sadis kerana ia hanya ilusi aku. Hari masih gelap, Aku hanya menuju ke kereta dan berniat untuk berjumpa Harris dalam mimpi semula. Aku tak sedar bahawa telekung aku jatuh atas jalan. Bila sudah masuk ke dalam kereta barulah aku sedar. Terus aku keluar kembali ke jalan raya yang masih sunyi dan masa itu aku terdengar dentuman yang kuat.

Terus........

*****************************************************
"Amboi, mana ada orang buat pengat pisang subuh-subuh ni? Peliklah kamu ni. Tak pernah dibuat orang", ibu menegur pelik sebab aku masak pengat pagi-pagi ni.

"Ini untuk Harris, dia nak bawa pulang ke KL", aku masih bernada biasa tapi dalam hati berbunga-bunga memasak untuk Harris.

"Amboi, baru jumpa semalam dah macam orang bercinta bertahun. Tapi kan Harris kata dengan ibu, kamu berdua sudah kenal lama sejak sekolah. Tapi kamu tak pernah cerita pada ibu. Haa bercinta diam-diam ya!", rupanya Harris sudah beritahu ibu. Aku hilang kata bagaimana nak ceritakan cerita sebenar pada ibu.

"Ibu, akak tak jadi nak sambung cuti lah. Rasanya akak nak tumpang Harris balik KL. Nanti hujung minggu akak balik macam biasalah ya", cepat aku mengubah topik.

"Alaa ibu baru nak plan bercuti dengan kamu", keluh ibu bila dengar aku nak kembali kerja.

Kami berhenti berborak apabila mendengar suara Harris memberi salam.

"Amboi, berseri muka pagi-pagi Haris?", tegur ibu.

"Berseri la nak jumpa bakal isteri", tebal muka Harris sebut begitu depan ibu. Terus duduk di meja makan. Aku pula cepat-cepat ke bilik bersiap. Semalam kami sudah berbincang untuk pulang ke KL bersama. Selepas makan sarapan, Harris meminta izin untuk bertolak.

"Jaga anak ibu, dah sampai telefon jangan bagi orang tua ni risau", ibu memang sentiasa risau dengan aku. Kesian pula ibu, sudah berangan untuk bercuti, tapi sebab aku, semuanya ditangguh. Bukan apa, aku rasa aku sudah lama berada di kampung. Kerja berlambak nanti menyusahkan orang lain pula. Arrghhh dusta, itu alasan nombor dua. Alasannya sekarang, aku mahu bersama Harris. Maaf ibu.

"Awak, semalam mak saya suruh alang-alang kita balik berdua ni, dia suruh kita pergi beli cincin tunang. Nak singgah tak sebelum saya hantar awak ke rumah?", Harris sebut lagi perihal kahwin.

"Sekejap, saya ada bagitahu yang saya nak kahwin dengan awak ke?", ego....gila ape aku tak nak kahwin dengan Harris. Ini JACKPOT!!!

"Ada, awak ada bagitau. Kalau awak tak bagitau pun saya boleh baca awak. Awak suka saya sejak dulu. Saya boleh baca hati orang tau haaaa", Harris pandai pusing ayat.

"Awak, sebenarnya awak yang menjauhi diri saya. Bukan saya. Sejak saya deman panas, duduk wad sampai sebulan. Ada awak melawat saya? Ada awak endah? Tiba-tiba awak datang, kata nak kahwin dengan saya. Saya tak faham motif awak sebenarnya", tetiba aja mulut aku lebih pantas dari otak. Ada kebenaran juga penjelasan aku.

Harris terus berhentikan kereta di bahu jalan. Harris serius memandang aku.

"Awak tahu tak, waktu awak masuk wad itulah ibu bapa saya meninggal kemalangan sewaktu mereka bekerja di Manila. Sekarang saya duduk dengan emak saudara, Mak Som yang saya panggil dia emak. Bukan menjauhi awak tapi saya terpaksa tanggung semua masalah seorang diri dengan rumah kami ditarik oleh bank, semua insuran famili saya dibekukan dan tinggallah saya seorang sebatang kara. Syukur waktu itu, adik mak datang mengambil saya dari rumah anak yatim. Bukan niat saya nak abaikan awak. Bila saya cari awak, awak tak pernah ada. Di sekolah pula awak sentiasa diamkan diri dan larikan diri dari saya", hambar je suara Harris. Aku pula yang sebak. Kenapa aku tak pernah tahu pasal famili dia?

"Surat yang awak hina saya tu?", sambung aku tak puas hati. Sebab bagi aku surat itu adalah memori paling hitam dalam hidup aku.

"Surat ape? awak pernah bagi saya surat? Surat cinta? Ada ke???? Saya tak pernah dapat pun!!", soalan Harris pelik. Siapa yang balas surat menghina tu?

"Ermmm tak pe, abaikan surat tu bukan masalah kita lagi. Saya minta maaf sebab saya tak pernah tahu pasal famili awak", aku yakin surat itu bukan masalahnya sekarang. Lagipun dalam dunia mimpi aku kurus bukannya gemuk. Kandungan surat itu Harris memaki aku dengan mengatakan aku gemuk. Nanti lain jadinya. Biarlah, yang penting dalam alam ni aku bahagia dengan Harris. Aku yakin.

"So sekarang semua dah jelas? Kita berdua salah faham dari kecil. Syukur Allah beri peluang kita leraikan masalah yang kita pendam selama ini. Mulai dari hari ini, saya Zahid Harris tak akan buat Siti Nadirah saya menangis lagi. Okay???????", sempat lagi Harris bergurau. Aku memukul bahu Harris, geram.

" Emm jangan pukul-pukul sangat nanti saya datang meminang esok baru tahu. Awak tak sabar kan nak kahwin dengan saya. Dah la hensem sejak kecik", Harris dengan yakin.

"Kahwin la awak dengan lembu!!", ego aku masih tebal.

"Eleh malu la tu.....Saya tahu awak nak kahwin dengan saya. Ok saya terus ke kedai ya kita pilih cincin. Eiii tak sabarnya nak kahwin", pantas dia membuat keputusan. Aku pula malas melayan, aku hanya gelak sahaja. Hidup aku bertambah gembira selepas bertemu Harris.

Tapi ini mimpi kan!! Semuga aku tak bangun dari mimpi ini.


Bersambung...............


Tiada ulasan: